Kem Remaja Islam Sarawak (KRIS) 2009

Kem KRIS 2009 di Miri

KEM REMAJA ISLAM 2009, 4-7 Jamadil Akhir 1430H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Alhamdulillah, bersama-sama kita merafa’kan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurnia dan limpahan rahmatNya, Program Kem Remaja Islam 2009 anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Cawangan Miri telah berjalan dengan lancar dan jayanya di Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang, Miri pada 29 Mei - 1 Jun 2009 yang lalu. Peserta Kem kali ini adalah seramai 55 orang, iaitu 24 Muslimin dan 31 Muslimat serta terdiri daripada pelajar-pelajar terpilih dari Sekolah-sekolah Menengah di sekitar Miri, Bintulu dan Sibu. Seramai 19 orang Jawatankuasa Pelaksana telah terlibat dalam merealisasikan Program Kem Remaja Islam 2009 yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi UM, UTM, UTP, KIPSAS, UPSI, UPM, Politeknik dan lain-lain.

 

OBJEKTIF PROGRAM

 

Objektif Kem Remaja Islam Sarawak 2009 adalah untuk memberi kefahaman Islam kepada peserta iaitu termasuklah: 

  • Memberi kefahaman Islam kepada peserta
  • Menanam kecintaan kepada cara hidup Islam
  • Memupuk ciri-ciri akhlak mulia, konsep berbudi dan memahami tanggungjawab sebagai anak soleh dan solehah
  • Memberi kesedaran tentang kepentingan kecemerlangan akademik
  • Mewujudkan ikatan silaturrahim yang lebih erat di kalangan peserta dan AJK pelaksana
  • Memupuk sifat penyayang dan prihatin di kalangan mahasiswa/ mahasiswi untuk membimbing adik-adik peserta.
Kem Remaja Islam Sarawak 2009

Kem Remaja Islam Sarawak 2009

PENGISIAN-PENGISIAN PROGRAM

 

Antara pengisian program ini adalah tiga (3) Kuliah Dasar yang dijadikan sebagai pengisian utama. Setiap Kuliah Dasar kemudiannya disusuli dengan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) antara peserta dan fasilitator. Kuliah Dasar Pertama bertajuk “Aqidah Muslim” telah dibentangkan oleh Ustaz Nik Mohd Shazmizi bin Nik Sin dari Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang. Manakala Kuliah Dasar Kedua: “Syahadah dan Tuntutannya serta perkara-perkara yang membatalkannya, dan Kesalahan Syariah dan Enakmen-enakmen di Sarawak” pula telah disampaikan oleh Ustazah Anisah selaku Pegawai Pendakwa di Jabatan Agama Islam Sarawak. Seterusnya Kuliah Dasar yang Ketiga dibentang oleh Ustaz Malsiron bin Rogikin, Pegawai di Jabatan Agama Islam Sarawak Cawangan Miri bertajuk “Konsep Ibadah dalam Kehidupan”.

 

Kem Remaja Islam Sarawak 2009 turut diserikan dengan pengisian istimewa iaitu slot khas mengenai kehidupan bekas pelajar kepada pelajar kini yang bertajuk “Islam Sebagai Ad-Deen: Satu Perkongsian”. Membuatkannya lebih istimewa adalah slot ini disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak sendiri, iaitu Saudara Muhtar bin Hj Suhaili. Namun, keunikan dan keistimewaannya tidak terhenti di sini sahaja. Terdapat satu lagi slot pengisian khas iaitu Forum Akademik yang bertajuk “Cemerlang bersama Islam”. Panel-panel adalah terdiri daripada orang kuat Task Force Kecemerlangan Miri  iaitu Puan Lily Hj Morni (Pengetua Cemerlang bersara) di samping Saudara Muhtar bin Hj Suhaili (Jurutera Sarawak Shell Berhad) dan  Saudara Hishammudin Afifi bin Huspi (Pelajar Cemerlang Matrikulasi Labuan, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, UTM yang bakal melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana) sebagai moderator.

 

Sepanjang program ini, peserta-peserta telah didedahkan dengan pengertian Ukhuwwah Fillah yang kian menghilang dalam kehidupan masyarakat Islam. Iltizam dari itu, para peserta bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan sebuah Organisasi yang bernaung di bawah Yayasan AMAL iaitu Kelab Remaja AMAL. Mudah-mudahan Kelab Remaja AMAL ini akan memberi kesinambungan kepada input-input yang diperolehi sepanjang program.

 

Kem kali ini telah ditangguhkan oleh Cik Hasyimah bt Abang Zen, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang selaku tetamu kehormat Majlis Penutupan Kem Remaja Islam 2009.

 

Ketibaan Peserta SMK Agama Miri

Ketibaan Peserta SMK Agama Miri

Sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK)

Sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK)

Kasih Sayang (Ukhuwwah) Sepanjang Program

Kasih Sayang (Ukhuwwah) Sepanjang Program

Menanyikan Lagu Tema “Islam Adalah Satu”

Menanyikan Lagu Tema “Islam Adalah Satu”

Ucapan Cik Hashimah di Majlis Penutupan Kem

Ucapan Cik Hashimah di Majlis Penutupan Kem

Majlis Penyerahan Mock Cheque dari Penaja Utama

Majlis Penyerahan Mock Cheque dari Penaja Utama

Barisan Urusetia Kem Remaja Islam Sarawak 2009

Barisan Urusetia Kem Remaja Islam Sarawak 2009

Peserta Ikhwah Kem Remaja Islam Sarawak 2009

Peserta Ikhwah Kem Remaja Islam Sarawak 2009

Peserta Akhawat Kem Remaja Islam Sarawak 2009

Peserta Akhawat Kem Remaja Islam Sarawak 2009

 

PENUTUP DAN HARAPAN

 

Alhamdulillah, dengan kerjasama yang mantap di kalangan Ahli Jawatankuasa Pelaksana serta pihak-pihak terlibat, Kem Remaja Islam Sarawak 2009 ini dapat direalisasikan. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada para peserta yang sabar dan tabah serta tekun mengikuti Program Kem Remaja Islam kali ini. Tahniah dan Syabas juga diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Pengelola yang diketuai oleh Saudara Mohamad Syukrani bin Addi Saiful Rizal Voon dan pihak-pihak yang ikhlas membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga kalian terus istiqamah dalam merealisasikan misi dakwah khususnya di Bumi Kenyalang, Sarawak tercinta.

 

Di Sini Pemimpin Dilahirkan!

Di Sini Pemimpin Dilahirkan!

 

Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita, terus mengikatkan hati-hati kita dalam iman dan mudah-mudahan kita semua akan istiqamah dalam kebaikan dan beroleh redhaNya. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.

 

“REMAJA CEMERLANG BERSAMA ISLAM”

 

Laporan Disediakan Oleh Jawatankuasa Penganjur.

4 Responses to “Kem Remaja Islam Sarawak (KRIS) 2009”

  1. Ana Muslim says:

    Salam.. Ana sebenarnya adalah antara bekas peserta Kem Remaja Islam Sarawak bagi tahun 2009 yang berlangsung di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang tempoh hari.. Kem ini banyak mengajar ana erti kesabaran, ketabahan dan keberanian untuk mempertahankan Islam itu sendiri..

    Alhamdulillah… Ceramah oleh Ustaz Mukhtar Suhaili memberi kesan dalam hati ana walaupun hanya sekelumit itupun dikira ilmu. Ana begitu berharap agar kem seperti ini ada di Bintulu.. kerana Bintulu rindukan takbir-takbir para remaja.. Laungan takbir Allahu Akbar oleh peserta kem menjadi sebati pada setiap apa yang peserta lakukan.. Hal ini sekaligus membangkitkan semangat ana dan peserta yang lain untuk terus berada benar2 di dalam kem tersebut..

  2. Aina says:

    ….Boleh buat reunion KRIS masa raya tak? Dekat Taman Awam Miri atau di mana-mana…

  3. Syukrans says:

    Boleh sahaja. Raya ke3? Raya ke4? Nanti abang maklumkan lagik sine lokasi….?

    Amacam? Ok sik?

  4. AMAL Sarawak says:

    Akh Syukrani;

    Mohon dibincang di kalangan penggerak MISSI dan mungkin boleh ikhtiarkan liqa’ ya dengan menggunakan database yang sedia ada.

    Sama-sama kita buat yang terbaik untuk Islam kerana Allah.

    Siiru ‘ala barakatillah.

Leave a Reply