
AMAL Malaysia, Kelana Jaya, 25 April 2009: Alhamdulillah! Yayasan Amal Malaysia (AMAL) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Kali Ke-5 di Dewan Sri Jugra, Komplek Tabung Haji Kelana Jaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ustaz Hassan Syukri selaku salah seorang Penasihat AMAL Malaysia.
Seramai hampir 180 orang hadir ke mesyuarat tersebut yang terdiri dari pemimpin masyarakat, pemimpin NGO, perwakilan dan pemerhati. Sebanyak 14 Cawangan seluruh negara telah menghantar Perwakilan. Negeri Sarawak buat julung kalinya menghantar wakil pada mesyuarat kali ini. Dianggotai oleh 6 orang wakil yang boleh dianggap paling muda sepanjang tempoh mesyuarat diadakan. Keunikan 2 negeri dari Kepulauan Borneo iaitu dari Sabah dan Sarawak mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan kerana mampu melaksanakan tugas-tugas dakwah dan kebajikan dengan prestasi yang membanggakan sehingga membolot 2 anugerah khas walaupun diketahui 2 negeri tersebut merupakan ‘anak bongsu’ dalam Yayasan Amal Malaysia.
Mesyuarat yang diadakan setiap dua tahun sekali ini berjaya diadakan dengan mesra dan mahabbah di kalangan sesama ahli, selaras dengan motto AMAL Malaysia ‘Beramal Kerana Allah’.
Sempena mesyuarat agung tahun ini, turut diadakan beberapa aturcara penyampaian sumbangan dan anugerah penghargaan. Antaranya termasuklah penyerahan sumbangan dana untuk Tabung Amanah Palestin seperti berikut:
Tempat Pertama: Cawangan Terengganu - RM331,000.00
Tempat Kedua: Cawangan Selangor - RM113,000.00
Tempat Ketiga: Cawangan Sarawak - RM53,000.00.
Sementara itu, bagi anugerah Kategori Cawangan Terbaik, Cawangan Selangor ditabalkan sebagai Cawangan Terbaik 2007-2009. Cawangan Sarawak pula mendapat Anugerah Khas – Kreatif 2007-2009, Cawangan Sabah mendapat Anugerah Khas – Aktif 2007–2009, manakala Cawangan Pahang mendapat Anugerah Khas – Qurban 2008/1429H. Kesemua pemenang menerima sijil penghargaan dan cenderahati.
Presiden AMAL Malaysia sedang memberikan ucap utama sewaktu majlis perasmian Mesyuarat Agung
Perwakilan Sarawak yang dapat hadir
Antara perwakilan seluruh negara yang hadir
Kutipan ketiga terbanyak untuk Palestin Cawangan Sarawak sebanyak RM53,000.00
Ustaz Abdul Halim, selaku Timbalan Pengerusi mewakili Cawangan Sarawak menerima Anugerah Khas – Kreatif 2007-2009
Jawatankuasa Pusat Yayasan AMAL Malaysia 2009-2011
Manakala bagi pemilihan Jawatankuasa Pusat bagi sessi 2009–2011, para perwakilan mengekalkan penyandang sessi lepas bagi jawatan-jawatan utama tanpa ditandingi:
Presiden: Hj. Husin b. Ismail
Timbalan Presiden: Hj. Jamuliddin b. Elias
Naib Presiden 1: Dr. Hj. Abd. Rani b. Osman
Naib Presiden 2: Dr. Hj. Mohd Hamdan b. Mohd Khalib
Naib Presiden 3: Dr. Hjh. Halimah Ali bt. Abdullah
6 orang Ahli Jawatankuasa yang dipilih oleh perwakilan melalui undi sulit pula adalah seperti berikut:
1. Abd. Hamid Seman
2. Mohamad Misbahul Munir Masduki
3. Ustaz Jamsari Marsom
4. Hj. Zaman Abdullah
5. Azri Mohd Arish
6. Prof. Dr. Hashimi Bohari
Sdr. Abd. Hamid Seman dan Sdr. Hj. Zaman Abdullah turut dikekalkan jawatan asal sebagai Ketua Setiausaha dan Bendahari Pusat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan sebaik selesai mesyuarat agung tersebut.
Sebagaimana yang diketahui, kepimpinan yang telah diputuskan dalam mesyuarat pada kali ke-5 ini dianggotai gandingan muka baru dan lama. Perkara yang jelas diharapkan ialah pemilihan Jawatankuasa Pusat pada kali ini mampu untuk terus istiqamah melaksanakan amanah serta matlamat Yayasan AMAL Malaysia. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.
“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah”.

[...] AMAL Sarawak diumumkan menerima anugerah Cawangan Terbaik Dakwah dan Kemanusiaan di atas kesungguhan dan komitmen dalam menggerakkan dakwah ke kawasan-kawasan pedalaman di samping memperbanyakkan aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Anugerah ini merupakan anugerah kedua diterima oleh AMAL Sarawak selepas Anugerah Khas – Kreatif 2007-2009 pada Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan AMAL Malaysia 2009. [...]