AMAL Sarawak, Bintulu, 6 Rabi’ul Thani 1430H: Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah mengadakan kunjungan mahabbah ke Institut Tahfiz Bintulu (ITB) selepas pelancaran Tabung Dana Saudara Kita pada 2 April 2009 baru-baru ini. ITB merupakan antara Pusat Tahfiz yang pertama di Negeri Sarawak dan yang pertama seumpamannya di Bintulu. Ziarah ini juga secara tidak langsung merupakan lawatan sambil belajar ke arah memulakan langkah merealisasikan salah satu usul Muktamar AMAL Malaysia Cawangan Sarawak iaitu penubuhan Borneo Islamic Center (BIC) insya Allah.
Rombongan AMAL diketuai oleh Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Saudara Muhtar Suhaili dan turut disertai oleh beberapa orang Ahli Jawatankuasanya termasuklah Ustaz Salehuddin Abu Samah, Ustaz Ibrahim Mat Isa, Saudara Mohd Junaidi Samsudeen, Saudara Mohamad Jusoh dan Ustaz Arisan Abdul Rahman telah dibawa melawat dan diberi penerangan oleh Haji Mohamad Yacop Mohamad Junit iaitu Pengerusi Institut Tahfiz Bintulu. Ziarah mahabbah ini juga telah menemukan Pengerusi AMAL Sarawak, Saudara Muhtar dengan Saudara Kita yang telah diIslamkan pada 14 Februari 2009 semasa Ziarah Dakwah ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei iaitu Saudara Mukhtar bin Abdullah (atau nama asalnya Gerry ak Kandau). Saudara Mukhtar bin Abdullah kini mengikuti pengajian Tahfiz di institut ini bersama beberapa Saudara Kita yang lain dan diharapkan akan kembali menjadi imam di kampung beliau suatu masa nanti, insya Allah.
Institut Tahfiz Bintulu adalah sebuah organisasi bebas yang berfungsi hanya dengan bantuan orang ramai. Untuk itu bantuan dalam apa juga bentuk sentiasa dialu-alukan. Sesiapa yang ingin menyumbang dalam bentuk kewangan bolehlah memasukkan ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad dengan nombor 11031010017715 atas nama “Institut Tahfiz Bintulu”.
“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah”.



Salam..
Boleh kamek dapatkan no telefon pihak yang boleh dihubungi di Institut Tahfiz Bintulu. Kamek berminat ingin mengetahui apakah kelayakan dan syarat2 utk pelajar menyertai/menuntut di ITB.
Kamek bekerja di JANM Caw, Bintulu.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari blog http://instituttahfizbintulu.blogspot.com/ atau hubungi Hj Mohd Yakop di talian 019-8147962. Syukran jazilan.