AMAL Sarawak, 25 Jamadil Akhir 1431H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Alhamdulillah, buat ulung-julung kalinya, program Kem Remaja Islam Sarawak 2010 atau nama singkatannya KRIS’10 telah diadakan di Zon 1 bertempat di SMK Sebuyau baru-baru ini. Program bercirikan kepimpinan ini telah dijalankan di Dewan SMK Sebuyau pada 4-6 Jun 2010. KRIS’10 telah dianjurkan oleh Kelab Mahasiswa Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan SMK Sebuyau.
Sila baca juga: Kem Remaja Islam Sarawak (KRIS) 2009
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana KRIS’10 ini telah berjaya dilaksanakan. Antara objektif kem ini diadakan termasuklah:
-
Mentarbiyyah (mendidik) remaja Muslim supaya tidak terpesong dari landasan Islam yang sebenar,
-
Menerapkan rasa cinta kepada diri dan benci kepada maksiat,
-
Membentuk ukhuwah di antara pelajar Muslim dalam satu akidah Islamiyyah tanpa mengira latar belakang yang berbeza.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada penaja-penaja yang telah banyak memberikan sumbangan bagi menjayakan program KRIS’10. Jazakumullahu khairan kathiran kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak, Syarikat Quraisia Banu, Syarikat Bismi, Syarikat Azri, Malaya Restaurant, Encik Abdul Hamid Bin Abdul Rahman serta semua penderma-penderma yang ikhlas.
Seramai 78 orang peserta telah menyertai Kem Remaja Islam yang terdiri daripada 36 orang Muslimin dan 42 orang Muslimat. Sebanyak 5 buah sekolah terpilih di Bahagian Sebuyau dan Samarahan untuk mengikuti program ini iaitu SMK Sebuyau, SMK Paku, SMK Sri Sadong, SMK Sadong Hilir serta SMK Lake dan melibatkan pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5.
Program itu telah berjaya dilaksanakan dengan komitmen jitu daripada 37 ahli Jawatankuasa Pelaksana yang telah terlibat dalam merealisasikan program Kem Remaja Islam Sarawak 2010. AJK Pelaksana terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Politeknik Kuching Sarawak (POLIKU) dan Kolej TWINTECH. Ini termasuk seramai 10 orang fasilitator yang bertungkus-lumus memberikan tunjuk ajar kepada peserta-peserta KRIS’10.
Setinggi-tinggi terima kasih juga kepada barisan penceramah jemputan KRIS’10 yang memberikan ceramah dan kuliah. Antaranya termasuklah Saudara Mukhtar Suhaili (Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak), Ustaz Yazid (Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak), Ustaz Haykal Akashah (Politeknik Kuching Sarawak), Ustaz Sulaiman (JPNS-Sektor Pengurusan Pendidikan Islam) dan Ustaz Sarbini Dahlan (HIKMAH Sarawak).
Seterusnya, antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti “Islam is the way of life”, “Jelajah Ibadah”, “My Attitude”, “Kau & Aku” serta “Buat Yang Teristimewa”. Sepanjang program ini, peserta-peserta telah didedahkan pelbagai aktiviti seperti kuliah dasar, latihan dalam kumpulan, sukan, motivasi dan slot muhasabah. Walaupun terdapat pelbagai karenah dan gelagat dari para peserta, namun secara keseluruhan pelajar dapat memahami input yang diberikan terutamanya pada kuliah dasar dan latihan dalam kumpulan dengan bantuan fasilitator. Pelajar – pelajar juga mudah menerima arahan daripada setiap AJK. Antara pencapaian yang paling berkesan dalam kalangan pelajar adalah ukhuwah sesama mereka. Ini terbukti apabila pelajar tidak lagi segan untuk memeluk sahabat mereka seperti yang sebelumnya.
Program KRIS’10 kali ini telah ditangguhkan oleh Encik Hasbie selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Sebuyau serta diiringi oleh Pengarah Program KRIS Zon 1 iaitu Saudara Wan Lukman Hakim Bin Haji Wan Sajali.
Antara pengisian program KRIS’10 adalah seperti berikut:
-
Kuliah Dasar 1: “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?” oleh Saudara Mukhtar Suhaili • Apa ertinya saya menganut Islam • Aplikasi Islam dalam kehidupan seharian
-
LDK 1: “Islam is The Way of Life” bimbingan Fasilitator • Dengan memahami erti Islam yang sebenar, seseorang dapat mengecapi nikmat bergelar seorang Muslim
-
Kuliah Dasar 2: “Konsep Ibadah Dalam Kehidupanku” oleh Ustaz Yazid • Skop Ibadah dalam kehidupan seharian
-
LDK 2: “Jelajah Ibadah” bimbingan Fasilitator • Menghargai masa yang ada untuk membuat sebanyak amalan yang boleh • Boleh menentukan prioriti dalam menentukan keputusan dalm kehidupan seharian
-
Kuliah Dasar 3: “Mulia Peribadiku” oleh Ustaz Haiqal Aqasha • Akhlak mulia membentuk peribadi mulia
-
LDK 3: “My Attitude” bimbingan Fasilitator • Membentuk peribadi yang mulia dalam diri
-
Kuliah Dasar 4: “Kau & Aku” oleh Ustaz Sulaiman • Menjaga hubungan antara Pencipta dan hambaNya, serta sesama manusia
-
LDK 4: “Kau & Aku” bimbingan Fasilitator • Saling bekerjasama sesama ahli kumpulan
-
Kuliah Dasar 5: “Kau Di Hatiku” oleh Ustaz Sarbini Dahlan • Mendedahkan sirah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W • Rasulullah S.A.W sebagai “role model”, contoh terbaik ikutan sepanjang zaman
-
LDK 5: “Buat yang teristimewa” bimbingan Fasilitator • Memupuk kecintaan kepada Rasulullah S.A.W
Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita, terus mengikatkan hati-hati kita dalam iman dan mudah-mudahan kita semua akan istiqamah dalam beroleh kebaikan dan redhaNya dunia dan Akhirat. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.
“UKHUWAH TERBINA, SAHSIAH TERLAKSANA,
AKIDAH TERPELIHARA”
Disediakan Oleh;
NUR LIYANA BT JAMIL
Setiausaha 1 KRIS’10 Zon 3
Untuk keterangan lanjut program-program Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak pada masa akan datang, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Saudara Abdul Aziz (019-8874784), Ustaz Sardi Ismail (013-9235267), Saudari Wan Lydia Salmi Wan Junaidi (016-8509242) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
TERAS BUDAYA AMAL:
-
Beriman, Berilmu dan Ber’amal,
-
Berakhlak Mulia,
-
Berprinsip dan Berdisiplin Islam,
-
Berkemahiran dan Berketrampilan.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”




[...] Kem Remaja Islam Sarawak (KRIS) 2010 - Zon 1 [...]
Assalammualaikum…
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana KRIS’10 ini telah berjaya.. Terima kasih saya ucapkan wakil dari semua umat Islam di Sebuyau.. kerana kebanyakan ibu bapa yang saya jumpai sungguh berbesar hati dan berbanyak2 terima kasih kerana menganjurkan pgrm yang berlandaskan Islam ini.. banyak memberikan kesedaran kepada anak2 mereka, lebih menariknya penduduk Sebuyau mahu penglibatan pgrm yg berlandaskan Islam ini terus memilih Sebuyau sebagai destinasi untuk menbantu anak muda Islam Sebuyau untuk terus berkembang menjadi anak jati Sebuyau yang berjaya. InsyaAllah semoga pgrm ini akan mendapat tempat di hati adik2 Islam di Sebuyau.
alhamdulillah…. saya prnh ikut kem ini…. mmg seronok… byk yg saya belajar smsa di kem ini… kalau ada lagi kem ini, mmg saya nak ikut lg… rsa nya x rugi saya dtg dri jauh smata2 utk kem ini… berbaloi sgala pnt lelah spnjang kem ini… saya bersyukur sngt krn dpt myrtai kem ini…