
AMAL Sarawak, 24 Jamadil Awal 1431H: Alhamdulillah. Program Seminar Ekonomi Islam 2010 telah berjaya diadakan di Masjid An-Naim Lutong, Miri pada 9 Mei 2010 yang lepas. Program ini telah dianjurkan oleh Biro Ekonomi, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Masjid an-Naim Lutong, Persatuan Kebajikan Pekerja Islam Petroleum (PKPIP) dan Warisan Mukmin (www.warisanmukmin.com). Program ini adalah tahun kedua berturut-turut diadakan selepas Seminar Ekonomi Islam 2009.
Seminar ini telah dihadiri oleh lebih daripada 50 orang peserta dari kalangan usahawan, kakitangan awam, kakitangan swasta serta pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPTA). Program ini diadakan untuk memberi pendedahan tentang kepentingan pegurusan kewangan, pengurusan harta pusaka/ hibah serta mempromosikan Yayasan AMAL Malaysia serta peranannya kepada masyarakat.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Masjid an-Naim, Tuan Haji Sobri Bojeng dan disusuli dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Malsiron Rogikin, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri. Seminar sehari ini telah diberikan oleh tenaga penyampai dari Warisan Mukmin Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas mengenai kewangan Islam serta Wasiat/ Hibah.
Melalui program ini, peserta dapat memahami lebih mendalam mengenai kepentingan menguruskan kewangan, kaedah terbaik dalam menjana ekonomi/ pendapatan serta kepentingan menulis wasiat. Peserta-peserta juga berpeluang untuk menanyakan kemusykilan serta mendapatkan kepastian mengenai kaedah menjana ekonomi berlandaskan kehendak syariat Islam.
Secara keseluruhannya, daripada maklumbalasa peserta, masa yang diperuntukkan untuk program ini dirasakan terlalu suntuk bagi penceramah untuk menjawab semua soalan yang diajukan. Walaubagaimanapun, program ini telah berjaya mencapai matlamatnya dan berjalan dengan lancar. AMAL Sarawak ingin mengucapkan jutaan terima kasih ditujukan untuk pihak Warisan Mukmin yang telah meluangkan masa bersama peserta, pihak Masjid an-Naim yang membantu menyediakan kemudahan prasarana, pihak PKPIP yang membantu dalam mempromosikan program serta pihak JAIS yang telah merasmikan program ini.
Sesungguhnya kerjasama dari semua pihak telah banyak membantu pihak penganjur untuk melaksanakan program ini dengan jayanya. Tahniah juga kepada pihak pengurusan program yang diketuai oleh Encik Mohd Ali Murad yang telah bekerja keras bagi menjayakan program seminar ini.
Berita sebelum ini: Seminar Ekonomi Islam Bersama Warisan Mukmin.
Untuk keterangan lanjut program-program Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak di Miri pada masa akan datang, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Ustaz Shahrul Ramadhan Shuib (013-2821445), Saudari Wan Lydia Salmi Wan Junaidi (016-8509242), Ustazah Hasnita Mohd Rejab (019-5566078) atau layari laman sesawang www.amalsarawak.net.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”
