Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan

Header Web AMAL Sarawak.jpg

Ziarah AMAL Ke Kuala Segan.JPG

AMAL Sarawak, 5 Rabi’ul Akhir 1431H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center (BIC) telah berjaya mengadakan Ziarah Dakwah Siri 1 2010 ke Kg Kuala Segan pada Sabtu, 20 Mac 2010. Program ini turut disertai juga oleh Jawatankuasa Kakitangan Islam ABF (JASA ABF) dan L-Tune Motor Club. Program ini juga adalah kesinambungan Ziarah AMAL Sarawak ke Kuala Segan sempena Ramadhan 1430H yang lalu. Laporan: Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan.

 

Program bermula pada pukul 4 petang dengan Solat Asar berjamaah bersama dengan penduduk kampung di Surau Darul Yakin. Selepas solat Asar, taklimat perjalanan program telah diberikan kepada semua sukarelawan ziarah oleh pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan AMAL Sarawak, Ustaz Ibrahim Bin Mat Isa.

 

Aktiviti ziarah ke rumah telah dipecahkan kepada 2 kumpulan yang mana setiap kumpulan telah menziarahi 10 buah rumah dengan diketuai oleh ketua masing-masing. Ketua kumpulan 1 diketuai oleh Ustaz Ibrahim Mat Isa, manakala ketua kumpulan 2 diketuai oleh Ustaz Mohd Sardi Ismail.

 

Pihak kami telah menyediakan sumbangan berbentuk barang-barang asasi yang terdiri daripada beras, gula, tepung, bawang, minyak, garam dan bihun. Walaupun barang-barang ini kecil nilainya tetapi penerima mengucapkan syukur kepada Allah dan mengucapkan terima kasih di atas kunjungan dan ziarah tersebut.

 

Aktiviti ziarah selesai lebih kurang pada pukul 6.30 petang. Seterusnya para sukarelawan AMAL Sarawak bersama-sama masyarakat Islam Kg Kuala Segan telah bersama-sama menunaikan solat fardhu Maghrib berjamaah dan seterusnya ucapan terima kasih daripada pihak AMAL Sarawak yang telah diwakili Ustaz Mohd Sardi Bin Ismail selaku Ketua Unit AMAL Sarawak Bintulu. Seterusnya program diisi dengan Kuliah Maghrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Abd Halim Bin Abd Kadir, Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak.

 

Selesai Kuliah Maghrib, semua jamaah mendirikan Solat Isyak dan selepas itu, semua jamaah dijamu dengan laksa Sarawak yang telah ditaja oleh AMAL Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center. Sebelum pulang ke rumah masing-masing, semua jamaah dan sukarelawan AMAL Sarawak telah bergotong royong membersihkan surau dan mencuci pinggan mangkuk.

 

Sebelum pulang, Ketua Kampung dan imam Surau Darul Yakin yang mewakili semua penduduk kampung Kuala Segan mengucapkan jutaan terima kasih di atas kunjungan AMAL Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center ke kampung mereka. Mereka mengharapkan akan ada lagi ziarah seperti ini dilakukan oleh AMAL Sarawak pada masa akan datang. Seterusnya, pihak rombongan turut mengucapkan terima kasih di atas kesudian penduduk kampung menerima kehadiran sukarelawan kali ini dan insya Allah jika ada kelapangan suatu hari nanti akan diadakan lagi kunjungan ke Kampung Kuala Segan.

 

Pihak AMAL juga ingin mengucapkan jazakumullahu khairan kathiran kepada semua penyumbang-penyumbang yang budiman. AMAL doakan semoga segala sumbangan kita diterima oleh Allah SWT. Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh berurusan terus dengan pihak AMAL atau BIC. Pihak kami turut mengalu-alukan kepada yang berminat untuk turut serta di dalam Ziarah Dakwah yang akan dianjurkan pada masa-masa akan datang.

 

Sila klik di sini untuk foto-foto program »».

 

Untuk keterangan lanjut program-program Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak di Bintulu, sila hubungi Ustaz Salehuddin Abu Samah (019-4823755), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Ustaz Sardi Ismail (013-9235267), Saudari Hafsah Mardiah (019-9805803) atau layari laman sesawang www.amalsarawak.net.

 

Wallahu a’lam bissawab.

 

“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”

Leave a Reply