AMAL Sarawak, 5 Muharram 1431H: Alhamdulillahi Ta’ala ‘ala kulli hal! Pada 15 sehingga 18 Disember 2009 yang lepas, seramai 3 orang sukarelawan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak telah meneruskan siri Kembara Mahabbah ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei. Kembara kali ini disertai oleh Saudara Zahari bin Deli selaku Ketua Rombongan bersama dengan 2 orang lagi sebagai tenaga pembantu iaitu Saudara Malayadin bin Lahasiru dan Saudara Ridwan bin Kamit. Ziarah Mahabbah ini adalah kesinambungan kepada Ziarah Dakwah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei dan Ziarah Dakwah AMAL Siri 2 Ke Ulu Kota, Pakan.
Sila baca juga artikel terdahulu yang berkaitan berikut:
1. Sebuah Catatan: Ekspedisi Dakwah Ke Ulu Kota
2. Saudara Kita Di Ulu Kota.. Keprihatinan Muslimin Ditagih!
Ketiga-tiga sukarelawan AMAL telah berkumpul di Terminal Bas Bintulu pada jam 4 petang sebelum memulakan perjalanan ke sana. Taklimat program disampaikan oleh Saudara Zahari selaku Pengarah Program. Taklimat diakhiri dengan bacaan Doa.
Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 7 jam sangat tidak dirasa. Setibanya di Sarikei sukarelawan AMAL disambut mesra oleh 2 orang ustaz dari HIKMAH Sarikei yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Zainal dan Ustaz Mustajab. Pada malam 15 Disember 2009 sukarelawan AMAL bermalam di rumah Ustaz Zainal sebelum memulakan perjalanan ke Ulu Kota, Pakan pada keesokan harinya.
16 Disember 2009, perjalanan diteruskan menuju ke Ulu Kota, Pakan. Walaupun perlu menghadapi pelbagai cabaran dengan keadaan jalan yang cukup menggerunkan pada kali ini disebabkan musim hujan, akhirnya sukarelawan tiba di perkampungan Saudara Baru di Ulu Kota pada jam 3 petang. Kehadiran peserta amat dialu-alukan oleh Ketua Kaum iaitu Encik Azhar Abdullah.
Selesai melakukan solat, program bermula pada jam 4.30 petang yang dimulai dengan sesi ramah mesra dengan penduduk kampung. Semasa ramah mesra banyak maklumat-maklumat terkini yang diperolehi tentang perkembangan berlaku di kampung tersebut. Antaranya ialah Encik Azhar dengan bantuan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Sarikei telah berjaya mengislamkan 4 orang penduduk yang menetap di kawasan rumah panjang yang berhampiran dengan kampung mereka. Keduanya projek rumah baru bagi penduduk kampung sudah mula menampakkan hasil yang mana penduduk kampung mendapat bantuan pembinaan rumah tesesbut daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Projek pembinaan surau di kampung tersebut masih lagi tidak terusik dan masih belum ada perkembagan terkini mengenai status pembinaan surau di kampung tersebut. Diharap pihak AMAL Malaysia Cawangan Sarawak mampu bertindak sewajarnya untuk merealisasikan projek pembinaan surau di Perkampungan Saudara Baru Ulu kota, Pakan.
Sebelah malamnya pula, sukarelawan AMAL menjalankan aktiviti kerohanian bersama penduduk kampung. Bagi golongan kanak-kanak mereka diulang semula pemahaman secara pratikal, tasmi’ bacaan selepas wudhu, niat solat, pergerakan dalam solat dan kelas pengajian Iqra’. Bagi golongan dewasa secara umumnya kita tahu bahawa jika proses untuk menghafal agak sukar kepada mereka, jadi Ketua Rombongan mengambil pendekatan untuk menjalankan sesi perkongsian maklumat tentang ibadah dan aqidah kepada mereka. Program kerohanian ditamatkan dengan Solat Isya’ dan makan malam bersama-sama.
17 Disember 2009, setelah usai Solat Subuh sesi tazkirah ringkas dilakukan beserta dengan sarapan pagi. Dengan adanya sedikit tenaga, sukarelawan AMAL ingin memanfaatkan waktu pagi untuk beriadah dan akhirnya memilih untuk berjalan ke kawasan dusun salah seorang penduduk di kampung tersebut yang kira-kira mengambil masa 1 jam setengah jika berulang alik.
Tepat jam 8.30 pagi, kuliah pemahaman dimulakan dengan mengupas tajuk Sirah Nabi Junjungan Mulia Muhammad SAW dan diadakan juga sesi soal jawab. Kuliah tamat pada jam 9.30 pagi.
Masa di Ulu Kota perlu dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat, tepat jam 10 pagi hampir semua penduduk kampung bersama dengan peserta kembara menuju ke sungai berdekatan bagi menjalankan aktiviti mencari siput sungai yang biasanya dipanggil “tekoyong”. Selain itu, peserta kembara kali ini langkah kanan disebabkan sekarang adalah musim buah-buahan jadi peserta berpeluang untuk menikmatan buah-buahan seperti cempedak, dabai, rambutan hutan dan durian. Aktiviti bersama orang kampung berakhir pada jam 1 petang.
Sebelah petang disebabkan keadaan hujan lebat, aktiviti ketika itu adalah sesi perkongsian cerita dan perasaan penduduk kampung ketika mereka mula menjalani kehidupan sebagai muslim.
Jam 5 petang peserta dan penduduk kampung bersiap sedia untuk aktiviti pada sebelah malam. Sebelum waktu azan Maghrib dikumandangkan, ketua rombongan melakukan upacara Doa Akhir Tahun bersama penduduk kampung. Dan setelah Solat Maghrib, Doa Awal Tahun dibaca sebagai tanda kesyukuran bersama untuk menempuh tahun 1431H. Inilah kali pertama tahun baru pada diri peserta kembara disambut dalam hutan belantara. SubahanAllah!
Kemudiannya setelah selesai, penduduk kampung diterangkan oleh ketua rombongan tentang kelebihan membaca Surah Yassin dan ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Malam ini hari terakhir bagi kembara kali ini. Setelah makan malam peserta dengan penduduk kampung berkumpul untuk beramah mesra.
Pada masa yang sama timbul idea daripada pihak rombongan supaya diadakan sesi dialog khas bersama Ketua Kaum. Dialog pada kali ini lebih menekankan tentang tahap pembinaan surau di kampung tersebut. Terdapat cadangan daripada Ketua Kaum supaya surau yang dibina menggunakan tenaga daripada penduduk kampung sahaja. Di samping itu juga, Ketua Kaum berharap sumbangan untuk pembinaan surau yang telah dikumpulkan dapat disegerakan semungkin yang boleh. Ini kerana keperluan untuk membina surau tersebut amatlah diutamakan agar dapat memberi gambaran ataupun petunjuk kepada penduduk rumah panjang yang tidak beragama Islam betapa Islam sudah mula bertapak di kawasan Ulu Kota, Pakan.
18 Disember 2009, rombongan kembara memulakan perjalanan pulang dan berazam insya Allah akan kembali lagi pada masa akan datang. Mudah-mudahan.
Berikut dikongsikan gambar-gambar Kembara Mahabbah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan baru-baru ini:
Ya Allah, redhaMu yang kami damba dan terimalah ‘amalan serta pengorbanan kami ini. Amiin Ya Rabb!
TERAS BUDAYA AMAL:
-
Beriman, Berilmu dan Ber’amal,
-
Berakhlak Mulia,
-
Berprinsip dan Berdisiplin Islam,
-
Berkemahiran dan Berketrampilan.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”














[...] 4. Kembara Mahabbah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan [...]
[...] 5. Kembara Mahabbah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan [...]
[...] 7. Kembara Mahabbah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan [...]
[...] 4. Kembara Mahabbah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan [...]
[...] 7. Kembara Mahabbah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan [...]