Laporan Program Qurban 1430H AMAL Sarawak

Header Web AMAL Sarawak.jpg

Qurban AMAL Sarawak 1430H

 

AMAL Sarawak, 12 Dzulhijjah 1430H: Alhamdulillah. Pada 29 November 2009, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah berjaya buat julung-julung kalinya menganjurkan program Qurban sempena ‘Eidul Adha 1430H  bertempat di Kampung Mohd Taha, Bakong. Kampung Mohd Taha merupakan sebuah perkampungan saudara baru yang menempatkan 16 keluarga Saudara Kita berbangsa Iban. Seramai 19 orang sukarelawan Yayasan AMAL beserta keluarga yang diketuai oleh Pengerusi AMAL Sarawak, Saudara Muhtar Hj Suhaili telah turut serta dalam program kali ini.

 

Program bermula dengan semua sukarelawan berkumpul untuk mesyuarat, taklimat dan persiapan program di Kampung Muhibbah, Ladang 3, Niah pada malam 28 November 2009. Keesokan harinya selepas Solat Subuh berjemaah dan pengisian rohani, lebih kurang dalam jam 7 pagi, rombongan bertolak dengan menaiki 2 buah kereta, 2 buah 4WD dan sebuah lori pick-up menuju ke Ladang Ternak PPES Karabungan untuk mengambil lembu dan sekaligus proses sembelihan. Seterusnya, rombongan bertolak ke Kampung Mohd Taha melalui perjalanan yang sebahagiannya masih belum berturap dan mengambil masa selama lebih kurang 2 jam.

 

Alhamdulillah, setibanya di sana, penduduk kampung dan ahli kariah sekitar telah sedia menunggu. Selepas bersalam-salaman penuh ukhuwwah, program diteruskan dengan pihak Muslimin bergotong-royong melapah lembu qurban manakala pihak Muslimat menyediakan masakan untuk jamuan. Selepas itu, program diteruskan dengan sesi perbincangan bersama Ketua Kampung, Encik Abu Talib Abdullah dan pengasas kampung tersebut, Encik Mohd Taha Abdullah.

 

Selepas semua kerja-kerja selesai, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi AMAL Sarawak. Saudara Muhtar telah memberi taklimat ringkas mengenai latarbelakang NGO Yayasan AMAL Malaysia selain menjelaskan objektif program Qurban ini dilaksanakan teristimewa di Kampung Mohd Taha. Antara penekanan yang disampaikan ialah pentingnya program kebajikan, kemasyarakan dan dakwah Islamiyyah khususnya kepada non-Muslim diperhebatkan di bumi Sarawak.

 

Program diteruskan lagi dengan ucapan oleh Pengerusi Surau An-Nur Kampung Mohd Taha, Saudara Gusti Muttaqin. Beliau telah berterima kasih kepada Yayasan AMAL Malaysia di atas keprihatinan dan menekankan pentingnya program-program follow-up/ susulan terutamanya dalam misi untuk terus membimbing pihak saudara baru agar kekal kental dan istiqamah dengan keimanan.

 

Selepas itu, sesi ta’ruf antara ahli rombongan dan penduduk kampung diadakan sebelum program dilanjutkan dengan Tazkirah Khas yang telah disampaikan oleh Ustaz Azatul Ridzuan Hassan. Ustaz Azatul Ridzuan telah mengajak semua hadirin berfikir tentang apakah sumbangan/ usaha yang telah kita curahkan untuk Islam? Juga apakah  jawapan yang akan diberikan di hadapan Allah Rabbul Jalil sebagai tebus ganti untuk memasuki SyurgaNya jika langsung tiada usaha yang dikerah dan direncanakan untuk Islam? Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla..  

 

Seusai Solat Fardhu Zohor berjemaah, seluruh hadirin telah dihidangkan dengan makan tengahari. Agihan daging korban (lebih 100 bungkusan) juga telah disampaikan kepada penduduk setempat. Alhamdulillah mereka amat gembira menerima agihan daging tersebut dan semoga ianya menjadi titik mula kepada AMAL Sarawak untuk terus menabur budi dan bakti serta seterusnya menyemai kasih sayang bersama penduduk Kampung Mohd Taha.

 

Alhamdulillah, semoga program Qurban 1430H AMAL Sarawak ini memberikan khair kepada semua dan sekaligus menyemarakkan kepedulian dan keprihatinan sesama insan. Kepada 7 pihak yang berqurban pada tahun ini berwakilkan AMAL Sarawak, semoga Allah menerima qurban kalian. Juga jazakumullahu khairan kathiran khusus kepada semua sukarelawan yang terlibat, semoga Allah SWT menerima segala amal dan pengorbanan kita. Amiin Ya Rabb!

 

Benarlah… Ummah Kita Tanggungjawab Kita! Buat warga penduduk Kampung Mohd Taha… Insya Allah kami akan kembali lagi untuk terus menyimpul erat silaturrahmi yang dimeterai. Ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam wahyu yang dinuzulkan “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara” dan setulus bicara Nabi Muhammad SAW dalam sabdaan baginda “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri”

 

Sebagai perkongsian, berikut disertakan gambar program tersebut:

 

 

 

 

 

 

 

 

  

TERAS BUDAYA AMAL:

  • Beriman, Berilmu dan Ber’amal,
  • Berakhlak Mulia,
  • Berprinsip dan Berdisiplin Islam,
  • Berkemahiran dan Berketrampilan.

 

Wallahu a’lam bissawab.

 

“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH” 

3 Responses to “Laporan Program Qurban 1430H AMAL Sarawak”

  1. AMAL Sarawak says:

    Yayasan Amal Malaysia Berkorban Di Mana Sahaja
    Sumber: http://www.amalmalaysia.net/v1/

    26 November 2009, K. Lumpur (AMAL) - Aktiviti Qurban serta Aqiqah adalah aktiviti utama Yayasan Amal Malaysia atau AMAL Malaysia. Pada tahun ini, pihak Biro Kebajikan AMAL Malaysia yang di pengerusikan oleh Tuan Hj Jamuliddin Hj Elias telah menggerakkan program qurban dan aqiqah tersebut.

    Istimewa pada tahun ini, terdapat beberapa lokasi yang telah di tetapkan bersama oleh pihak pengurusan AMAL Malaysia. Aktiviti qurban dan aqiqah ini akan di laksanakan di Kemboja, Laos, Mindanoa Filipina, Selatan Thailand, Sri Lanka, Pendalaman Sabah dan Sarawak.

    Hj Jamuliddin yang mengetuai misi ke Mindanoa Filipina telah bertolak awal pagi tadi dengan membawa qurban serta aqiqah sebanyak 46 ekor lembu dan 29 ekor kambing. Seramai 12 orang sukarelawan telah turut serta dalam misi tersebut. Misi ke Vientiane, Laos akan di ketuai oleh Presiden AMAL Malaysia iaitu Tuan Hj. Hussin Ismail akan membawa amanah qurban dan aqiqah sebanyak 8 ekor ke sana. Misi ke Kemboja akan di ketuai oleh Ketua Setiausaha, En. Abd Hamid Seman yang telah membawa qurban serta aqiqah untuk 16 ekor lembu dan 7 ekor kambing. Begitu juga di Sabah, Sarawak dan Selatan Thailand. Beberapa hari lalu, qurban serta aqiqah juga telah di hantar ke Sri Lanka di ketuai oleh En. Johari Abd Wahid dengan kerjasama AMAL Pahang. Sebanyak 13 ekor qurban dan aqiqah

    Di jangka bilangan qurban serta aqiqah akan bertambah kerana setiap misi akan berada di lokasi masing-masing sepanjang hari raya qurban. Sekian.

    AMA2009

  2. Abang Long says:

    Syeikh, nama ana Azatul Ridzuan la, bukan Azatul Ridzwan. Nanti kalu ada program susulan, maklum awal naaa…

    AMAL Sarawak: Syukran Ustaz Azatul Ridzuan, dah dibetulkan. Siiru ‘ala barakatillah!

Leave a Reply