Safari Ramadhan Ke Kampung Mohd Taha Bakong

Header Web AMAL Sarawak.jpg

Safari Ramadhan Ke Kampung Mohd Taha Bakong

Safari Ramadhan Al-Mubarak 1430H - Karnival AMAL Merdeka 2009

Safari Ramadhan Al-Mubarak 1430H - Karnival AMAL Merdeka 2009

AMAL Sarawak, 10 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak bersama-sama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Miri, Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH) Cawangan Miri dan Tabung BaitulMal Sarawak Cawangan Miri telah melaksanakan Ziarah Mahabbah menerusi program Safari Ramadhan Al-Mubarak 1430H ke Surau An-Nur, Kampung Mohd Taha, Bakong pada 30 Ogos 2009.

 

Kampung Mohd Taha merupakan sebuah perkampungan yang menempatkan seramai 17 keluarga berbangsa Iban yang telah memeluk Islam 20 tahun yang lepas. Meskipun demikian, keprihatinan Muslimin terhadap Saudara Kita khususnya di bulan Ramadhan ini amatlah diperlukan dalam memantapkan lagi ukhuwwah Islamiyyah sambil menyelami isi hati sekaligus memberi lebih kefahaman terhadap Islam. Kampung ini terletak di daerah Bakong yang mengambil masa 2 jam setengah dengan jalan darat yang mencabar dari Bandaraya Miri.

 

Program dimulakan dengan ahli rombongan berkumpul di Pejabat Agama Islam Bahagian Miri pada jam 3.30 petang. Safari kali ini disertai oleh Temenggong Tuan Haji Abdul Rahman Fadzail (merangkap Pengerusi HIKMAH Miri), Ustaz Haji Rosli Arup (Ketua Penolong Pengarah JAIS Zon Utara Sarawak), Saudara Muhtar Hj Suhaili (Pengerusi AMAL Sarawak), Ustaz Mohd Baizuri Sulaiman (Pemangku Ketua JAKIM Miri), Ustaz Malsiron Rogikin (penyelaras program), pegawai JAIS dan Tabung BaitulMal serta sukarelawan-sukarelawan AMAL Sarawak.

 

Setelah kesemua 15 ahli rombongan tiba, rombongan meneruskan perjalanan ke Pekan Bakong dan singgah Solat Asar di Masjid Al-Munir, Kampung Melayu Bakong. Dari Bakong, rombongan yang menaiki 6 buah kenderaan pacuan 4 roda (4WD) meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju.

 

Rombongan selamat tiba di Kampung Mohd Taha pada jam 6.15 petang dan disambut oleh Penghulu Tuan Wahed Jimlos dan Ketua Kampung Encik Mohd Taha. Selepas berehat dan berbual-bual mesra seketika, rombongan berbuka puasa dengan makanan ringan seterusnya Solat Maghrib berjamaah dan diikuti dengan jamuan makan malam.

 

Selepas selesai makan malam, rombongan dan ahli jamaah diperdengarkan dengan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Muammar Ghadafi Abdul Hadi dari Tabung BaitulMal Sarawak. Jamaah kemudiannya menunaikan Solat Isya dan Solat Tarawih bersama. Setelah itu, rombongan beramah mesra dengan ahli kariah sebelum berangkat pulang membawa rencam pengalaman berharga khususnya mengenai realiti (waqi’) dakwah dan keperluan mendesak misi dakwah di pedalaman Sarawak.

 

Berikut dikongsikan gambar-gambar kenangan program:

 

Berkumpul di Pejabat Agama Islam Miri

Berkumpul di Pejabat Agama Islam Miri

Kampong Mohd Taha, Bakong, Miri

Kampong Mohd Taha, Bakong, Miri

Selamat tiba dengan 4WD di Surau An-Nur

Selamat tiba dengan 4WD di Surau An-Nur

Rombongan Safari mengabadikan foto kenangan

Rombongan Safari mengabadikan foto kenangan

Berbuka Puasa - Sungkei sambil beramah mesra

Berbuka Puasa - Sungkei sambil beramah mesra

Tazkirah oleh Ustaz Muammar Ghadafi

Tazkirah oleh Ustaz Muammar Ghadafi

Solat Isya dan Solat Tarawih berjamaah

Solat Isya dan Solat Tarawih berjamaah

Moreh sambil sesi hati ke hati bersama ahli kariah

Moreh sambil sesi hati ke hati bersama ahli kariah

 

Surau An-Nur merupakan destinasi ke-4 yang diziarahi dalam Siri Safari Ramadhan 1430H selepas Masjid Al-Firdaus Taman Tunku, Surau Nurul Ibadah Kampung Muhibbah Kuala Baram dan Surau Batu 8 Jalan Miri-Bintulu. Insya Allah Safari akan diteruskan lagi ke destinasi berikut: Masjid Besar Marudi (1 Sept 2009), Surau Nur Islam Kampung Tiris Bekenu (3 Sept 2009), Surau Madinah Kuala Sibuti (3 Sept 2009), Masjid At-Taqwa (5 Sept 2009), Surau Kampung Tegageng Suai (10 Sept 2009), Surau Kampung Iran Suai (10 Sept 2009), Masjid Baru Niah (13 Sept 2009) dan Surau Kampung Satap Bekenu (15 Sept 2009). Semua yang berminat untuk turut serta boleh menghubungi Yayasan AMAL Sarawak.

 

Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Miri, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Saudara Mohd Azwani Abdul Rani (013-3603290), Ustaz Arisan Abdul Rahman (013-8336027), Saudari Fatimah Junaidi (013-8130703) atau layari laman web www.amalsarawak.net.

 

Mudah-mudahan segala ‘amal dan ibadah yang kita laksanakan di dalam bulan yang mubarak ini akan mendapat keberkatan dan pahala dari Allah SWT. Semoga kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Amiin Ya Rabb!

 

Wallahu a’lam bissawab.

 

“WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH” 

“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH” 

Leave a Reply