AMAL Sarawak, 10 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Sekali lagi pada 31 Ogos 2009 Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center (BIC) meneruskan misi Ziarah Dakwah Ramadhan 1430H. Kali ini Kampung Penan Muslim Batu 13 Bintulu pula. Turut serta dalam ziarah dakwah ini ialah Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd (JKIBPSB). Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti Karnival AMAL Merdeka 2009 dan Ihya’ Ramadhan 1430H Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak.
Seperti biasa, para sukarelawan AMAL dan rombongan berkumpul di Masjid As-Syakirin untuk mendengar taklimat ringkas. Rombongan kali ini diketuai oleh Ustaz Ibrahim Mat Isa iaitu Ketua Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan AMAL Sarawak. Sebelum bertolak, Ustaz Sardi Ismail, Ketua AMAL Unit Bintulu mengetuai bacaan doa bagi memohon kepada Allah supaya perjalanan dipermudahkan.
Rombongan bertolak jam 8.40 pagi dan perjalanan mengambil masa selama 20 minit. Program dimulai dengan taklimat ringkas oleh ketua rombongan iaitu Ustaz Ibrahim. Seterusnya, wakil Ketua Kampung dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata dan disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak iaitu Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir. Selepas itu, rombongan disajikan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Rani.
Sejurus selepas mendengar pengisian rohani, program diteruskan lagi dengan penyerahan sumbangan kepada 40 keluarga terpilih. JKIBPSB turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan berupa wang ringgit kepada Ketua Kampung bagi tujuan pembangunan kampung. Sumbangan dari JKIBPSB disampaikan oleh Tuan Haji Tuah.
Sebelum bertolak pulang, rombongan dibawa melihat persekitaran kampung. Rombongan sempat singgah di rumah-rumah penduduk kampung dan melihat sendiri cara hidup mereka. Ini merupakan pengalaman terbaik bagi mereka yang tidak pernah melihat kehidupan kampung.
Atas segalanya, pihak AMAL Sarawak sekali lagi ingin mengucapkan jazakumullahu khairan khathiran kepada semua penyumbang-penyumbang yang budiman. AMAL Sarawak doakan semoga segala sumbangan kita diterima oleh Allah SWT. Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh berurusan terus dengan pihak AMAL atau BIC. Pihak kami turut mengalu-alukan kepada yang berminat untuk turut serta di dalam Ziarah Dakwah yang akan dianjurkan pada masa-masa akan datang.
Sila klik di sini untuk foto-foto program »».
Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Bintulu, sila hubungi Ustaz Salehuddin Abu Samah (019-4823755), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Ustaz Sardi Ismail (013-9235267), Saudari Hafsah Mardiah (019-9805803) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”


[...] Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kampung Penan, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. [...]
[...] Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kpg Labang, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kampung Penan, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. [...]