AMAL Sarawak, 8 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center (BIC) meneruskan misi Ziarah Dakwah Ramadhan ke Kuala Tatau, Bintulu pada hari Sabtu, 29 Ogos 2009. Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti Karnival AMAL Merdeka 2009 dan Ihya’ Ramadhan 1430H Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak. Rombongan Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd juga turut serta dalam ziarah dakwah kali ini.
Peserta rombongan berkumpul di Masjid As-Syakirin untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim Mat Isa. Seterusnya, Ustaz Salehuddin Abu Samah mengetuai bacaan doa sebelum rombongan memulakan perjalanan.
Rombongan bertolak kira-kira jam 8.30 pagi menuju ke jeti Kuala Tatau. Sampai sahaja di sana, sebuah bot sudah menanti untuk membawa rombongan ke seberang. Pengalaman menarik kepada mereka-mereka yang tidak pernah menaiki bot sebelum ini.
Setibanya kami di Masjid Al-Amin, Kuala Tatau, kelihatan penduduk kampung sudah menunggu kami di sana. Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung. Program bermula dengan taklimat ringkas dari ketua rombongan iaitu Ustaz Ibrahim dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak, Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir dan Ketua Kampung. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas mengenai Ramadhan oleh Ustaz Salehuddin.
Sejurus selepas tazkirah ringkas, sumbangan yang dibawa diserahkan kepada 79 keluarga terpilih. Program diakhiri dengan persembahan nasyid oleh rombongan Muslimin yang menyampaikan lagu rasmi Yayasan AMAL Malaysia iaitu Ber’amal Kerana Allah.
Pihak AMAL sekali lagi ingin mengucapkan jazakumullahu khairan khathiran kepada semua penyumbang-penyumbang yang budiman. AMAL doakan semoga segala sumbangan kita diterima oleh Allah SWT. Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh berurusan terus dengan pihak AMAL atau BIC. Pihak kami turut mengalu-alukan kepada yang berminat untuk turut serta di dalam Ziarah Dakwah yang akan dianjurkan pada masa-masa akan datang.
Sila klik di sini untuk foto-foto program »».
Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Bintulu, sila hubungi Ustaz Salehuddin Abu Samah (019-4823755), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Ustaz Sardi Ismail (013-9235267), Saudari Hafsah Mardiah (019-9805803) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”


[...] Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. [...]
[...] Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kampung Penan, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. [...]
[...] Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kpg Labang, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kampung Penan, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. [...]