AMAL S’wak Hadiri Kursus Latihan Kader Dakwah

Header Web AMAL Sarawak.jpg

AMAL Sarawak, 29 Sya’ban 1430H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah menghantar sukarelawannya menghadiri “Kursus Latihan Kader Dakwah” untuk bakal-bakal para pentazkirah dan penceramah di Bulan Ramadhan di Masjid-masjid dan Surau-surau Bahagian Bintulu. Program yang berlangsung pada 17 Ogos 2009 ini merupakan anjuran Pusat Latihan Sarawak (PLS) JAKIM, JAIS Bahagian Bintulu dan Jawatankuasa Kecemerlangan Sahsiah & Akademik (JAKSA), Unit Pendidikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu. Seramai 50 orang peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada guru-guru, sukarelawan AMAL, pensyarah UPM, kakitangan HIKMAH, pegawai masjid dan jurutera yang berminat untuk menyampaikan tazkirah sepanjang Ramadhan 1430H ini.

 

Kursus sehari ini telah diadakan di Regency Plaza Hotel yang bermula pada pukul 8.00 pagi – 5.00 petang. Kursus dimulakan dengan taklimat dari Ustaz Hasfa Bakhry Hassan, Ketua Unit Sekolah Pembangunan Sahsiah PLS. Seterusnya Cikgu Abdul Rahim ataupun dikenali dengan Pak Ngah selaku penceramah memulakan ceramah beliau dengan menyampaikan perkongsian bertajuk “Komunikasi Berkesan” dan “Mengenali Mad’u”.

 

Pada sebelah petang pula, Ustaz Salehuddin Abu Samah selaku Pengerusi Program Penghayatan Ramadhan Al-Mubarak 1430H Peringkat Bahagian Bintulu telah memberi taklimat berkenaan dengan jadual pengiliran dan tajuk yang dicadangkan. Seterusnya Pihak JAIS yang diwakili oleh Ustaz Rafaie Morshidi telah memberi garis panduan dan undang-undang berceramah berdasarkan Ordinan Sarawak. Program penutupan dimulakan dengan Ustaz Ahmad Mukarram Hilal selaku penasihat JAKSA telah menyampaikan tazkirah untuk para pentazkirah dan seterusnya penyampaian sijil kepada para peserta yang telah disempurnakan oleh Ustaz Hasfa Bakhry Hassan yang mewakili Pengarah JAKIM.

 

Para peserta melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas pemilihan mereka sebagai peserta kursus sehari ini. Terlalu banyak pengetahuan dan pengalaman telah diperolehi terutamanya tentang teknik dan cara penyampaian ceramah yang begitu berkesan sekali. Pengalaman 17 tahun Pak Ngah berceramah sangat menarik untuk dikongsi bersama peserta.

 

Pihak JAKSA mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak JAIS dan JAKIM di atas pemilihan lokasi Bintulu untuk diadakan kursus yang sedemikian. Sungguh besar saham yang telah dilaburkan oleh JAKIM yang telah membuka ruang kepada guru-guru untuk terlibat dengan dakwah. Kami mengharapkan kursus sebegini akan terus diadakan untuk meramaikan da’ie di Bumi Kenyalang khususnya di Bintulu.

 

Nota: AMAL Sarawak turut mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur di atas pelaksanaan program “Kursus Latihan Kader Dakwah” ini. Demi kelangsungan dakwah khususnya di Bumi Sarawak, usaha holistik serta sinergi strategik antara agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) wajar diteruskan pada masa-masa akan datang. Fastabiqul khairat!.

 

“BER’AMAL KERANA ALLAH ITU SYI’AR KAMI”

Leave a Reply