
[Gambar Surau AMAL Al-Azhar yang diambil pada awal bulan Julai 2010: Masih dalam pembinaan... Gambar terbaru akan disiarkan selepas Ziarah AMAL Siri 8 pada 4-5 September 2010, insya Allah.]
AMAL Sarawak, 02 Ramadhan 1431H: Alhamdulillahi kathiran! Sukacita dimaklumkan bahawa Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Bintulu Iqra’ Center (BIC), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sarikei dan Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarikei sedang mengusahakan pembinaan Surau AMAL Al-Azhar di Perkampungan Saudara Kita di Ulu Kota, Pakan, Sarikei.
Alhamdulillah. Pembinaan Surau AMAL Al-Azhar, Perkampungan Saudara Kita, Ulu Kota Pakan telah 97% siap. Hari ini adalah hari meletakkan jubin terakhir bagi Surau tersebut. Ketua Kaum Perkampungan Islam, Saudara Azhar Abdullah dari Ulu Kota pagi-pagi lagi telah menyampaikan berita gembira bahawa surau yang pertama di Ulu Kota kini hampir siap sepenuhnya dan telah boleh digunakan.
Hari ini juga, Khamis, 2 Ramadhan 1431H/ 12 Ogos 2010M merupakan hari bersejarah bagi Umat Islam Iban di Ulu Kota. Mereka akan merasmikan Surau AMAL Al-Azhar dengan mengadakan Majlis Sungkey (Berbuka Puasa) pada petang ini. Alhamdulillah… Alhamdulillah… Alhamdulillah… Allahu Akbar!
Kita sama-sama doakan mudah-mudahan Allah menjadikan Surau AMAL Al-Azhar ini sebagai titik bermulanya Sinar Islam gemilang di kawasan pedalaman Sarawak. Walaupun telah ada beberapa surau dibina oleh kerajaan di kawasan Saudara Baru, tetapi Surau AMAL Al-Azhar ini mempunyai signifikan tersendiri. Ia merupakan hasil pungutan infaq sumbangan dan sadaqah dari umat Islam sekitar Bintulu, Miri, Kuching, Sibu, Sarikei dan tempat-tempat lain.
Pembinaannya diselenggara oleh AMAL Sarawak, BIC, HIKMAH dan JAIS. Kredit penuh juga wajar diberikan kepada masyarakat tempatan yang telah banyak memberikan tenaga kerja dan berkorban peluh keringat. Setinggi-tinggi terima kasih juga kepada Kontraktor yang telah bertukar dua kali, di mana kedua-duanya adalah terdiri dari Orang Iban tempatan yang belum Islam.
Siri ziarah dan pengurusan AMAL Sarawak yang diketuai oleh Pengerusi AMAL Sarawak, Saudara Muhtar Hj Suhaili dan Ustaz Ibrahim Mat Isa selaku Pengurus Projek amat membanggakan. Semoga kita dapat lagi menjayakan projek yang seumpamanya di tempat penginapan Saudara Kita (Baru) yang lain, yang sebenarnya banyak bertebaran di seantero pedalaman Sarawak ini.
Tahniah kepada Saudara Azhar dan seluruh penduduk Kampung Saudara Kita, Ulu Kota di atas kurniaan Allah ini. Semoga surau ini akan diimarahkan sepertimana yang sepatutnya. Kita percaya dan berharap agar 2 pelajar dari kampung ini iaitu Adik Jeffry Bin Azhar dan Adik Abdul Rahman yang dihantar ke Pusat Tarbiah BISMIC di Bangi, Selangor akan kembali nanti dan bakal menerajui Surau AMAL Al-Azhar di Ulu Kota sekaligus menjadikannya Pusat Penerangan Islam di rantau sana. Amin… Amin… Amin… Ya Rabbil A’lamin..
Insya Allah Ziarah Siri Ke-8 ke Perkampungan Saudara Kita Ulu Kota, Pakan akan diadakan pada 4-5 September 2010 (25-26 Ramadhan 1431H). Kepada sesiapa yang berminat untuk turut serta, sila berhubung dengan Saudara Muhtar Hj Suhaili di talian 016-8909717 atau Saudara Mohd Ali Murad di talian 013-3640105. Doakan semoga segalanya khair.
Laporan disediakan oleh;
Saudara Mohd Ali Murad.




























