AMAL Sarawak, 12 Dzulhijjah 1430H: Alhamdulillah. Pada 29 November 2009, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah berjaya buat julung-julung kalinya menganjurkan program Qurban sempena ‘Eidul Adha 1430H bertempat di Kampung Mohd Taha, Bakong. Kampung Mohd Taha merupakan sebuah perkampungan saudara baru yang menempatkan 16 keluarga Saudara Kita berbangsa Iban. Seramai 19 orang sukarelawan Yayasan AMAL beserta keluarga yang diketuai oleh Pengerusi AMAL Sarawak, Saudara Muhtar Hj Suhaili telah turut serta dalam program kali ini.
Program bermula dengan semua sukarelawan berkumpul untuk mesyuarat, taklimat dan persiapan program di Kampung Muhibbah, Ladang 3, Niah pada malam 28 November 2009. Keesokan harinya selepas Solat Subuh berjemaah dan pengisian rohani, lebih kurang dalam jam 7 pagi, rombongan bertolak dengan menaiki 2 buah kereta, 2 buah 4WD dan sebuah lori pick-up menuju ke Ladang Ternak PPES Karabungan untuk mengambil lembu dan sekaligus proses sembelihan. Seterusnya, rombongan bertolak ke Kampung Mohd Taha melalui perjalanan yang sebahagiannya masih belum berturap dan mengambil masa selama lebih kurang 2 jam.
Alhamdulillah, setibanya di sana, penduduk kampung dan ahli kariah sekitar telah sedia menunggu. Selepas bersalam-salaman penuh ukhuwwah, program diteruskan dengan pihak Muslimin bergotong-royong melapah lembu qurban manakala pihak Muslimat menyediakan masakan untuk jamuan. Selepas itu, program diteruskan dengan sesi perbincangan bersama Ketua Kampung, Encik Abu Talib Abdullah dan pengasas kampung tersebut, Encik Mohd Taha Abdullah.
Selepas semua kerja-kerja selesai, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi AMAL Sarawak. Saudara Muhtar telah memberi taklimat ringkas mengenai latarbelakang NGO Yayasan AMAL Malaysia selain menjelaskan objektif program Qurban ini dilaksanakan teristimewa di Kampung Mohd Taha. Antara penekanan yang disampaikan ialah pentingnya program kebajikan, kemasyarakan dan dakwah Islamiyyah khususnya kepada non-Muslim diperhebatkan di bumi Sarawak. (more…)



















