AMAL Sarawak, 10 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak bersama-sama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Miri, Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH) Cawangan Miri dan Tabung BaitulMal Sarawak Cawangan Miri telah melaksanakan Ziarah Mahabbah menerusi program Safari Ramadhan Al-Mubarak 1430H ke Surau An-Nur, Kampung Mohd Taha, Bakong pada 30 Ogos 2009.
Kampung Mohd Taha merupakan sebuah perkampungan yang menempatkan seramai 17 keluarga berbangsa Iban yang telah memeluk Islam 20 tahun yang lepas. Meskipun demikian, keprihatinan Muslimin terhadap Saudara Kita khususnya di bulan Ramadhan ini amatlah diperlukan dalam memantapkan lagi ukhuwwah Islamiyyah sambil menyelami isi hati sekaligus memberi lebih kefahaman terhadap Islam. Kampung ini terletak di daerah Bakong yang mengambil masa 2 jam setengah dengan jalan darat yang mencabar dari Bandaraya Miri.
Program dimulakan dengan ahli rombongan berkumpul di Pejabat Agama Islam Bahagian Miri pada jam 3.30 petang. Safari kali ini disertai oleh Temenggong Tuan Haji Abdul Rahman Fadzail (merangkap Pengerusi HIKMAH Miri), Ustaz Haji Rosli Arup (Ketua Penolong Pengarah JAIS Zon Utara Sarawak), Saudara Muhtar Hj Suhaili (Pengerusi AMAL Sarawak), Ustaz Mohd Baizuri Sulaiman (Pemangku Ketua JAKIM Miri), Ustaz Malsiron Rogikin (penyelaras program), pegawai JAIS dan Tabung BaitulMal serta sukarelawan-sukarelawan AMAL Sarawak.
Setelah kesemua 15 ahli rombongan tiba, rombongan meneruskan perjalanan ke Pekan Bakong dan singgah Solat Asar di Masjid Al-Munir, Kampung Melayu Bakong. Dari Bakong, rombongan yang menaiki 6 buah kenderaan pacuan 4 roda (4WD) meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju. (more…)

































