AMAL Sarawak, 24 Sya’ban 1430H: Alhamdulillah! Sekitar 500 penonton telah hadir menyaksikan Konsert AMAL Merdeka 2009 yang menampilkan Ramli Hj Sarip, Ustaz Azhan Atan (Juara Akademi Nasyid TV9) dan Ustaz Akhwan Afandi (Adnin Management & Training). Konsert AMAL anjuran Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dengan kerjasama Curtin Islamic Society (CIS) ini telah berlangsung pada 15 Ogos 2009 bermula 8.30 malam – 11.00 malam bertempat di Stadium Tertutup Miri.
Konsert AMAL Merdeka merupakan salah satu program menarik yang disajikan bersempena Karnival AMAL Merdeka 2009. Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak menganjurkan Konsert Amal Merdeka 2008 yang telah menampilkan Nazrey Johani (ex-Raihan), Kumpulan Nasyid Devotees dan Ustaz Akhwan Afandi.
Sila baca juga: Laporan Konsert AMAL Merdeka 2008.
Melalui program ini, pihak penganjur berhasrat mengetengahkan hiburan mendidik jiwa sebagai alternatif hiburan yang semakin bercambah di luar sana. Selain itu, Konsert ini juga bertujuan menambah dana bagi pelaksanaan agenda kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan pada masa akan datang. Alhamdulillah, bersempena dengan konsert ini juga, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Kompleks Kebajikan Hamidah, Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak.

Saudara Ramli Hj Sarip

Ustaz Akhwan Afandi dan Ustaz Azhan Atan
Penyampaian Sumbangan Yayasan AMAL Malaysia Kepada
Kompleks Kebajikan Anak-anak Yatim Hamidah
Saudara Muhtar Suhaili, Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah merasmikan Konsert AMAL Merdeka 2009. Hadir sama pada program tersebut ialah Pengurus Besar Kompleks Kebajikan Hamidah Hajjah Juliyanah Abdul Hamid, Penasihat Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak Ir Khairul Nizam Yob, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri Ustaz Malsiron Rogikin, Pengarah Karnival AMAL Merdeka Saudara Mohd Azwani Abdul Rani dan Pengurus Konsert AMAL Merdeka 2009 Saudara Mohd Junaidi Samsudeen.
Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada sokongan orang ramai dan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli dan sukarelawan AMAL Malaysia di atas komitmen jitu yang diberikan. Semoga segalanya khair. Amiin.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”














