

AMAL Sarawak, 2 Jamadil Akhir 1431H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Alhamdulillah, program Citra Ibadah Pesona Muslim Sesi 2010 telah berjaya dilangsungkan pada 14-16 Mei 2010 yang lalu. Tamrin atau Latihan Kepimpinan dan Dakwah ini merupakan hasil jalinan kerjasama yang erat antara Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dan Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak.
Program 3 hari 2 malam ini telah diadakan di Teratak Al-’Amalulillah, Kampung Muhibbah, Niah, Miri, Sarawak. Seramai 74 peserta terdiri daripada para pelatih IKBN telah menyertai pelbagai aktiviti menarik dan mencabar yang telah disusun sebagai modul kepimpinan belia. Antaranya termasuklah slot Ceramah dan Kuliah Dasar, LDK, Sesi Muhasabah, Kembara Alam, Kembara Malam dan sesi riadhah. Sukarelawan AMAL Sarawak dari Miri telah memberi komitmen jitu sebagai fasilitator bersama kakitangan IKBN dan penduduk kampung dalam menjayakan misi kali ini.
Antara objektif program berorientasikan ReThink, ReFocus, ReLearn, ReEnergize ini dilaksanakan termasuklah:
-
Mengenal, memahami dan sekaligus dapat memanifestasikan erti kecemerlangan insan yang sebenar
-
Melestarikan kemahuan membara (burning desire) serta meningkatkan nyala rasa, kekuatan semangat dan ketahanan diri untuk mencapai kecemerlangan berlandaskan persoalan 4W 1H: What, Why, When, Where, How?.
-
Memantapkan ciri-ciri pemimpin dalam diri belia dan sekaligus membentuk jati diri yang mantap serta berjiwa besar
-
Penerapan unsur-unsur penghayatan Islam yang syumul khususnya dalam penguasaan ilmu pengetahuan (fardhu ‘ain dan fardhu kifayah) pada diri belia.
Insya Allah, riang tawa, air mata, suka duka dan pelbagai rasa-rasa yang dikongsi bersama antara urusetia, fasilitator dan peserta akan menjadi memori indah yang tidak akan dilupakan. Mudah-mudahan ianya akan membawa khair (kebaikan) ke arah kecemerlangan dunia dan Akhirat. (more…)











































